Pembela akan kemuka bukti baru

KUALA Lumpur: Pihak pembela bagi lima tahanan ISA akan mengemukakan
bukti-bukti baru di dalam rayuan mereka ke Mahkamah Persekutuan yang
akan didengari bulan Ogos ini. Menurut salah seorang peguambela bagi
lima tahanan tersebut - Saudara Ezam Mohd. Noor, Saudara Tian Chua,
Haji Saari Sungib dan Saudara Hishamuddin Rais - affidavit dari bekas
tahanan ISA yang dibebaskan akan turut dikemukakan.

Panel lima anggota Mahkamah Persekutuan semalam telah menetapkan
bahawa kes itu akan didengar semula dalam bulan Ogos. Pihak
peguambela merayu keputusan hakim Mahkamah Tinggi Augustine Paul dan
Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan harbeas corpus tahanan.
Permohonan yang serupa oleh dua orang lagi tahanan - Saudara Abdul
Ghani Haroon dan Saudara Gobalakrishnan - berjaya membebaskan mereka
setelah YA Hakim Dato' Hishamuddin Yunus memutuskan penahanan mereka
adalah tidak sah.

Pihak polis dan Perdana Menteri mendakwa tahanan-tahanan tersebut
merancang untuk menggulingkan kerajaan secara militan. Mereka juga
pada awalnya dituduh mengumpul senjata dan pelancar roket bagi tujuan
itu. Walau bagaimanapun, kertas pertuduhan rasmi mereka hanya
menyebut ucapan-ucapan yang mereka berikan di dalam ceramah yang
sedikitpun tidak ada kena mengena dengan dakwaan awal Perdana Menteri
dan Ketua Polis Negara.

Enam tahanan (termasuk Dr. Badrul Amin Baharom dan Saudara Lokman
Adam) kini ditahan selama dua tahun di Kem Tahanan Politik Kamunting.
Tahanan itu boleh dilanjutkan selama-lamanya