Tidak adil edar borang Puteri Umno di IPT

KUALA Lumpur (Malaysiakini): Tindakan Puteri Umno mengedar borang
keahliannya dan mengadakan aktiviti di institusi pengajian tinggi
(IPT) awam disifatkan tidak adil; kerana bertentangan dengan dasar
kerajaan sendiri.

Seorang pemimpin pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia berkata,
pengedaran borang keahlian Puteri di kampus-kampus sedikit sebanyak
mendedahkan penglibatan pelajar dalam politik kepartian.

(Tindakan) ini tidak adil kerana telah dinyatakan pelajar tidak
boleh terlibat dengan parti politik, maka mengedar borang Puteri Umno
di kampus sesuatu tindakan yang tidak sepatutnya berlaku,katanya.

Akta Universiti dan Kolej Universiti melarang pelajar terlibat dengan
sebarang pertubuhan di luar kampus, termasuk parti politik dan
kesatuan sekerja, kecuali dengan kebenaran Naib Canselor.

(Tindakan) ini juga bermakna prinsip bahawa sebarang parti politik
tidak boleh dibawa masuk ke kampus telah dicabuli,katanya, yang
enggan namanya disiarkan, lagi.

Pemimpin pelajar itu memberitahu malaysiakini, sejak dua minggu
kebelakangan ini borang Puteri Umno telah diedarkan secara agresif
di UKM.

Menurutnya, borang itu turut diedarkan di dewan-dewan kuliah. Pernah
berlaku apabila kami masuk ke dewan kuliah, borang sudah tersedia
diletakkan di atas meja,katanya.

Bersama borang itu, disertakan penerangan mengenai latar belakang
pertubuhan Puteri Umno, tambahnya.

Katanya, perkara itu telah diadu kepada bahagian Hal Ehwal Pelajar
(HEP) universiti itu dan beliau difahamkan perkara itu akan dirujuk
kepada Timbalan Naib Canselor (HEP) Datuk Salleh Mohd Yassin.

Naib Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Islam
Antarabangsa (MPMUIA) Zaidah Idris turut menyokong pandangan pemimpin
pelajar UKM itu.

Pengedaran borang itu suatu ketidakadilan kerana ia tidak berpegang
kepada prinsip yang diwar-warkan (sebelum ini) iaitu mahasiswa tidak
boleh menyertai parti politik, sebaliknya hanya terlibat dalam
politik kampus saja, katanya.

Tambahnya, tindakan Puteri Umno itu juga menampakkan ada usaha
membawa pelajar ke arah menyertai parti politik tertentu.

Ditanya pengedaran borang itu, beliau berkata setakat ini usaha itu
dijalankan melalui kawan kepada kawan.

Sementara Presiden Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Universiti
Teknologi Mara, Nazrul Fazami Mohamad berkata JPPUiTM tidak ingin
pelajar di universiti itu terlibat dengan parti politik ketika di
kampus.

“Maksudnya, kita tidak mahu sebarang kaunter atau borang keahlian
diedarkan di universiti ini. Kalau pelajar itu mencari sendiri borang
keahlian di luar kampus, (perkara itu) terpulang kepada mereka
katanya.

Katanya, pendiriannya itu bagi mengelakkan spekulasi bahawa pelajar
UiTM menyebelahi parti-parti politik tertentu.

Menurut Nazrul, sehingga kini ketua penaja Puteri Umno Azalina Othman
telah mengadakan dua kali program power walk di universiti itu.
Dalam acara itu pada awal semester ini, pelajar-pelajar baru dijemput
mendengar ceramah yang disampaikan oleh beliau sendiri.

Bagaimanapun Nazrul berkata beliau setakat ini tidak mendapat
maklumat tentang pengedaran borang Puteri Umno.

Semalam, malaysiakini melaporkan beberapa pelajar di Universiti Sains
Malaysia telah diterima menyertai Puteri Umno.

Menurut pelajar itu, borang keahlian diperolehi dari kauter yang
dibuka di Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang.

Puteri Umno ditubuhkan November lalu untuk menarik penyertaan wanita
muda profesional yang kurang berminat menganggotai Wanita Umno. Ia
boleh sertai oleh mereka yang berusia antara 18 hingga 35 tahun.
Setakat ini jawatankuasa penaja pergerakan ini dianggotai oleh 20
ahli.