Syarat baru ke universiti -- Tumpu perhatian kepada
                    pelajaran atau hadapi tindakan disingkir - PM

                    Kerajaan mungkin akan mengenakan syarat baru yang tegas kepada bakal pelajar
                    ke universiti dengan mewajibkan mereka menumpukan perhatian kepada pelajaran atau menghadapi
                    tindakan disingkir.

                    Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, syarat seperti itu akan dikenakan pada masa akan datang
                    memandangkan banyak pelajar terutama mahasiswa Melayu terbabit dalam gerakan antikerajaan.

                    ``Saya berasa amat sedih, nampak seolah-olah pelajar Melayu, pelajar lain tak ada masalah, menjadikan
                    universiti untuk bergerak dalam bidang politik yang tertumpu kepada aktiviti menentang kerajaan,'' kata
                    Perdana Menteri ketika ditanya mengenai kegiatan pelajar universiti yang semakin agresif kebelakangan
                    ini.

                    Menurut Dr. Mahathir, beliau dapati kegiatan mereka semakin rancak dan kadang-kadang di luar batasan
                    dan mengancam keselamatan negara.

                    Dr. Mahathir berkata demikian pada sidang akhbar di sini hari ini sempena lawatan dua hari ke Langkawi.

                    Beliau diminta mengulas penahanan dua aktivis pelajar di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)
                    kerana disyaki terbabit dalam gerakan antikerajaan.

                    Mereka ialah pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM), Khairul Anuar Ahmad pada Khamis lalu manakala
                    terbaru petang semalam membabitkan Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya
                    (MPMUM), Mohamad Fuad Mohd. Ikhwan.

                    Kegiatan para pelajar universiti pada masa ini dikawal oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

                    Menurut Dr. Mahathir, tiada gunanya kerajaan berbelanja besar untuk membiayai sistem pendidikan di
                    universiti sekiranya pelajar sendiri tidak berminat terhadap pelajaran.

                    Sebaliknya, kata beliau, mereka menganggap universiti sebagai pusat untuk menggemblengkan penuntut
                    menentang kerajaan semata-mata.

                    ``Jadi apa guna belanja wang yang banyak kalau mereka tak mahu belajar,'' katanya.

                    Perdana Menteri berkata, di masa akan datang, pemilihan ke universiti hanya untuk mereka yang mahu
                    belajar dan bukannya mereka yang menumpukan perhatian kepada kegiatan tidak mendatangkan faedah.

                    ``Mungkin di masa akan datang, kita akan pilih mereka yang masuk ke universiti di kalangan mereka yang
                    nak belajar dan kalau didapati aktiviti itu tak tertumpu pada pelajaran, mereka akan dikeluarkan,'' katanya.

                    Beliau memberitahu, mereka sebenarnya boleh menentang kerajaan tetapi apa yang membimbangkan
                    ialah kegiatan golongan pelajar ini semakin rancak sehingga boleh mengancam keselamatan negara.