SELAIN daripada dana-dana konvensional, dana-dana berlandaskan prinsip-prinsip syariah turut mendapat
                    tempat di kalangan pelabur. Sebagai contoh, dalam industri saham amanah, semakin banyak syarikat
                    pengurusan saham amanah melancarkan dana-dana berprinsipkan syariah. Dalam menguruskan
                    dana-dana berunsur syariah, pengurus dana perlu merujuk senarai sekuriti yang diluluskan oleh Majlis
                    Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti semasa membentuk portfolio pelaburan dana tersebut.
                    Portfolio yang dibentuk ini terdiri daripada saham-saham yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur
                    dan instrumen-instrumen pasaran wang tempatan yang mematuhi prinsip-prinsip syariah.

                    Secara amnya, MPS menggunakan kriteria tertentu terutamanya kajian yang mendalam terhadap aktiviti
                    utama syarikat yang tersenarai di BSKL dan MESDAQ. Syarikat yang aktiviti utamanya tidak
                    bertentangan dengan prinsip syariah diklasifikasikan sebagai sekuriti yang diluluskan. Sekiranya
                    aktiviti-aktiviti syarikat mempunyai operasi yang berteraskan riba (faedah), perjudian, menjual barangan
                    haram dan aktiviti yang mempunyai unsur gharar (ketidakpastian) seperti perniagaan insurans
                    konvensional akan terkeluar dari senarai sekuriti yang diluluskan. Bagi syarikat yang mempunyai
                    aktiviti-aktiviti yang bercampur, MPS mengambil kira aktiviti utamanya mestilah bukan aktiviti yang
                    bertentangan dengan syarak, manakala unsur haram adalah amat kecil berbanding dengan aktiviti
                    utamanya dan aktiviti utama syarikat hendaklah mempunyai kepentingan dan maslahah (kebaikan secara
                    umum) kepada umat Islam dan unsur haram adalah amat kecil. Menurut Senarai Sekuriti yang diluluskan
                    oleh MPS bertarikh 27 April 2001, sekuriti yang diluluskan adalah sebanyak 627 iaitu 78 peratus daripada
                    sekuriti yang tersenarai di BSKL dan kesemua 3 sekuriti di MESDAQ.

                    Namun begitu, dengan mengambil industri saham amanah sebagai contoh, syarikat yang menguruskan
                    dana saham amanah perlu menwujudkan Panel Penasihat Syariah (PPS) yang bertanggungjawab
                    memastikan pelaburan dana benar-benar suci dan tidak meragukan dari segi hukum syarak. Selain
                    daripada kriteria yang disebutkan di atas, syarikat pengurusan saham amanah juga mempunyai kriteria
                    tertentu dalam menguruskan dana syariah. Terdapat juga beberapa syarikat dana saham amanah syariah
                    yang melaksanakan proses `tazkiah' (penyucian), iaitu satu proses pembersihan pendapatan dengan
                    mengasingkan sebahagian daripada hasil pendapatan dan keuntungan untuk tujuan tersebut. Tazkiah
                    adalah istilah Arab yang bermakna penyucian dan pembersihan pendapatan. Tazkiah dibuat ke atas
                    mana-mana bahagian pendapatan dana yang berpunca daripada aktiviti yang bercampur-campur, tidak
                    halal atau kurang jelas yang terdapat dalam pendapatan dividen yang diterima daripada pelaburan di
                    dalam sekuriti yang diluluskan; keuntungan daripada jualan saham yang telah terkeluar dari senarai MPS
                    dan PPS dan juga pendapatan dividen daripada sekuriti-sekuriti yang terkeluar dari senarai MPS dan PPS
                    tetapi belum dijual kerana masih mengalami kerugian. Pendapatan dan keuntungan daripada jualan
                    saham akan dibersihkan mengikut proses penyucian yang ditentukan oleh ahli PPS. Jumlah peruntukan
                    tazkiah akan disumbangkan kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan atau seumpamanya dengan
                    persetujuan PPS. Antara dana yang mengamalkan konsep tazkiah ini adalah Dana Al-Aiman yang
                    diuruskan oleh ASM Mara Unit Trust Management Berhad.

                    Namun begitu, penstrukturan portfolio syariah banyak bergantung kepada objektif pelanggan-pelanggan
                    dan juga keadaan pasaran saham tempatan. Peratus pelaburan di dalam ekuiti secara umumnya, adalah
                    antara 50 hingga 95 peratus dan selebihnya di dalam instrumen pasaran wang tempatan yang mematuhi
                    prinsip-prinsip syariah. Tinggi rendahnya pelaburan di dalam ekuiti banyak bergantung kepada unjuran
                    tentang prestasi BSKL. Pemilihan pelaburan saham-saham pula adalah berdasarkan beberapa kriteria,
                    antaranya, pengurusan dan ketelusan syarikat, prospek industri dan syarikat tersebut, tahap kekukuhan
                    kewangan, kadar hasil dividen dan lain-lain lagi.

                    Pelaburan di dalam dana-dana yang berkonsepkan syariah adalah untuk mereka yang mencari pelaburan
                    yang tiada unsur-unsur perbankan konvensional, insurans dan perkhidmatan kewangan konvensional, judi,
                    arak dan produk-produk yang tidak halal.

                    ASM Asset Management Sdn. Bhd., (ASM Asset) merupakan anak syarikat milik penuh Amanah Saham
                    Mara Bhd. ASM Asset juga merupakan Pengurus Pelaburan bagi beberapa dana korporat serta dana
                    saham amanah.