Persatuan kita tidak seharusnya dipengaruhi, disokong atau didukung oleh parti politik. Ini bukan bermakna kita menentang atau menghalang pelajar dan mahasiswa dari menyuarakan pandangan. Pelajar dan mahasiswa wajib digalakkan untuk mengambil tahu hal semasa. Meraka boleh bersuara atau menyatakan pendapat. Sebagai anak muda mereka wajib prihatin kepada apa yang sedang berlaku didalam dan diluar kampus. Apa yang tidak patut berlaku ialah persatuan² pelajar jatuh ke dalam pengaruh parti politik. Parti politik ini mungkin parti pemerintah atau parti pembangkang. Persatuan kita wajib bebas dari pengaruh kedua²kumpulan politik ini Kenapa? Kerana bila persatuan dibawa kedalam kancah politik kepartian, persatuan pelajar tidak lagi bebas dan merdeka. Ini bererti persatuan kita akan menjalankan agenda dan dasar persatuan berpandukan parti politik.
Menyokong atau membangkang parti politik tidak salah. Malah menjadi ahli parti politik pun bukan satu yang tidak baik. Apa yang tidak baik ialah bila persatuan dibawa kebawah pengaruh parti politik maka kepentingan dan kebajikan ahli²persatuan tidak akan menjadi agenda utama. Yang diutamakan oleh persatuan hanyalah kepentingan parti politik. Ini satu kesilapan. Persatuan wajib mengambil kira semua kaum kerabat kampus. Ahli persatuan terdiri dari berbagai bangsa, agama, kepercayaan dan cara hidup. Pandangan ahli² yang ramai mungkin berlainan tetapi mereka tetap juga ahli persatuan .Suara dan pandangan mereka juga wajib diberi perhatian. Cara hidup dan aktiviti budaya mereka juga tidak seharusnya dihalang. Pimpinan persatuan wajib memberi gambaran yang betul kepada masyarakat kampus.
Persatuan pelajar wajib dilihat oleh orang ramai sebagai perwakilan yang sah. Persatuan pelajar wajib dilihat sebagai mewakili semua pandangan. Kalau hanya satu pandangan sahaja yang betul bermakna persatuan kita mengamalkan sistem autokrasi dan bukan demokrasi. Bila persatuan dibawah pengaruh parti politik, persatuan kita akan menjadi lemah Kenapa?
Persatuan menjadi lemah kerana tidak ramai ahli yang ingin campurtangan atau mengambil bahagian dalam aktiviti persatuan. Ahli² persatuan tidak ambil pot tentang apa yang berlaku dalam kampus. Masing-masing tidak mengambil endah. Ini kerana mereka melihat persatuan tidak lagi mewakili kebajikan dan kepentingan mereka. Persatuan telah menjadi alat propaganda parti. Ini terbukti kerana tahun lepas dan tahun ini peratus pelajar yang turun mengundi kecil atau terus menurun. Ada kampus yang mempunyai ahli sampai 25,000 orang tetapi berapa peratus yang mengundi? kemana pergi yang lain? kenapa mereka tidak datang mengundi? Kerana mereka telah bosan dengan pemimpin pelajar yang membawa politik kepartian ke dalam persatuan.
Ahli² persatuan tidak melihat
MPP mereka sebagai hak mereka lagi. Mereka tidak
dapat melihat yang persatuan sebagai
wadah yang akan memperjuangkan hak mereka. Kerana persatuan kita tidak
ada sambutan maka persatuan kita menjadi lemah. Bila persatuan kita lemah
siapa yang rugi? Yang menjadi rugi hanyalah kita sendiri para pelajar dan
mahasiswa dikampus. Persatuan kita tidak lagi memperjuangkan hak kita.
Pemimpin kita hanya memperjuangkan agenda parti politik. Orang diluar kampus
juga tidak memberi penghormatan kepada kita. Masyarakat diluar melihat
sebagai alat propaganda parti politik itu atau parti politik ini. Pimpinan
MPP dan persatuan pelajar tidak dilihat sebagai badan yang bebas dan merdeka
untuk menjalankan dasar-dasar yang menjaga hak kebajikan pelajar.
Masyarakat diluar sedang menunggu dan menanti-nantikan satu wadah persatuan pelajar yang bebas dan merdeka dari pengaruh politik kepartian. Orang ramai ingin mendengar pandangan dan pendapat pelajar dan mahasiswa. Orang ramai ingin mendengar pandangan baru yang segar yang bukan agenda parti politik. Parti politik kerajaan atau pembangkang boleh menyatakan sokongan kepada persatuan mahasiswa. Tetapi dengan sokongan ini bukan bermakna persatuan wajib menjalankan agenda parti politik itu atau parti politik ini.
Persatuan pelajar dan mahasiswa yang terikat dengan pengaruh satu-satu parti politik tidak akan menjadi bebas menjalankan dasar. Persatuan yang membawa politik kepartian akan menjadi persatuan PAK ANGGUK kepada parti politik.Ini tidak baik. Maka telah terbukti bahawa persatuan² wajib bebas dari politik kepartian. Dengan kebebasan ini persatuan kita akan menjadi popular. Ramai pelajar akan turun mengundi dan persatuan akan menjadi kukuh. Kita boleh menjalankan dasar yang bebas dan merdeka dari pengaruh atau tekanan parti politik luar. Persatuan kita akan menjaga kepentingan semua ahli dan bukan hanya pelajar yang menyelebahi parti politik itu atau parti politik ini. Dasar bebas inilah yang wajib dijadikan wadah baru kita
*PELAJAR BERSATU TAK DAPAT DIKALAHKAN*